Latest News

Petua Untuk Mencuci Hati Busuk

Posted by Lathifatuz Zahroh Senin, 11 April 2011, under | 0 komentar

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo’a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih”

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 kali sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah “Qulhu-allah” sebanyak 3 kali.

5. Berma’af-ma’afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.

7. Cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa, terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

Petua Untuk Mudah Bangun Subuh

Posted by Lathifatuz Zahroh , under | 0 komentar

  • Tidur awal sekitar 10 atau 11 malam supaya tidur anda mencukupi.
  • Ambil wuduk sebelum tidur.
  • Tanam azam di dalam diri untuk bangun awal.
  • Baca surah Al-Mulk, tiga Qul dan doa sebelum tidur.
  • Pasangkan niat; “Aku nak bangun pukul …. kerana Allah s.w.t.”
  • Maafkan semua orang sebelum tidur.
  • Elakkan makan makanan berat sebelum tidur.
  • Elak diri dari melakukan maksiat sebelum tidur.
  • Gunakan jam loceng atau alarm di telefon bimbit untuk membantu anda. Pastikan ia berkualiti.
  • Minta tolong orang lain seperti ibu atau rakan untuk mengejutkan anda. Mungkin minta mereka simbahkan air atau urut ibu jari anda sekiranya masih sukar untuk bangun.

Petua Untuk Menghafal Ayat-Ayat Al-Quran

Posted by Lathifatuz Zahroh , under | 0 komentar

a) Mulakan dengan bertaubat dengan sebenar-benar taubat kerana sesungguhnya dosa-dosa tidak akan memberi ruang untuk ayat-ayat bertapak di hati manusia. Imam Al-Shafie di dalam satu petikan sajaknya yang terkenal mengadu kepada gurunya akan dirinya yang agak sukar untuk menghafal dengan baik.Gurunya lalu menasihatinya agar meninggalkan dan bertaubat akan segala dosa- dosanya.

b) Mesti ada niat yang benar dan percaya akan balasan baik yang akan diperoleh. Mohonlah bantuan Allah dengan seikhlas hati untuk sentiasa memudahkan kita menghafal ayat-ayat suciNya.

c) Peruntukkan sebahagian waktu setiap hari (atau selang beberapa hari) untuk menghafal ayat-ayat al-Quran. Masa yang paling baik adalah pada waktu yang kita tidak sibuk dengan hal-hal lain.

d) Gunakan naskah yang sama setiap kali kita menghafal. Ini membantu minda kita menangkap dan mengingat apa yang terdapat pada helaian muka surat yang kita ingin hafal.

e) Mulakan dengan surah-surah yang paling mudah bagi kita. Ramai yang menyarankan agar hafalan bermula dengan lima juzu' terakhir ( bermula dengan juzu' 30,juzu' 29 dan seterusnya).

f) Hafalan juga boleh dimulakan dengan surah-surah yang paling kita gemar membacanya atau yang selalu kita dengar ataupun yang kita sudah biasa dan sudah pula ingat sebahagiannya.

g) Sebenarnya, lebih muda umur kita, lebih mudah untuk kita menghafalnya.Semakin kita berumur, kita akan lebih sibuk dengan pelbagai urusan dan kemampuan untuk mengingat juga semakin berkurangan. Walaubagaimanapun, kita masih belum terlambat sebenarnya, Insya Allah. Walaupun kita tidak pernah menghafal ayat-ayat pada usia kecil atau pada masa usia remaja, namun kita masih lagi berpeluang menghafalnya jika kita bersungguh-sungguh.

h) Setelah menghafal beberapa ayat, cubalah membacanya di dalam solat-solat sunat yang biasa kita lakukan. Selain itu, mintalah bantuan rakan-rakan ataupun pasangan kita untuk mendengar bacaan hafalan ayat-ayat itu .

i) Menghafal secara berkumpulan juga merupakan satu cara yang baik, apatah lagi dengan sentiasa bersama-sama memberi galakan di antara satu sama lain.

Surah Mujarab dari Nabi Muhammad S.A.W

Posted by Lathifatuz Zahroh , under | 0 komentar

SURAH AL-FATIHAH

Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya'Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

2. SURAH YAASIN

Telah bersabda Rasulullah s.a.w.,

"Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur'an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur'an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur'an seluruhnya."

(Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda :

"Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya."

(Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban).

Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

3. SURAH AT-DHUHAN

Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

4. SURAH AL-WAQI'AH

Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada setiap malam, insya'Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya'Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat Asar, insya'Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak.

Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi'ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga.

Makna Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 ialah :

"Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya."

5. SURAH AL-KHAUTHAR Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya'Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.

6. SURAH AL-KHAAFIRUUN Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur'an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi).

Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

7. SURAH AL-MULK Sebuah lagi Surah dari Al-Qur'an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya'Allah, akan terselamat dari azab kubur..

8. SURAH AL-IKHLAS

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya :

"Wahai Aisyah isteriku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur'an."

Siti Aisyah lalu berkata, "Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur'an sebanyak 30 juzuk itu."

Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, "Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur'an keseluruhannya."

Dari Rasulullah s.a.w.. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a.,

"Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali."

Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan :

"Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat."

9. SURAH AL-FALAQ

Siti Aisyah menerangkan :

"Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali."

10. SURAH AN-NAS

Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur'an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.

Petua Untuk Memimpin Wanita

Posted by Lathifatuz Zahroh , under | 0 komentar

Tidak dapat dinafikan bahawa hidup wanita dipengaruhi dan dikuasai oleh perasaannya. Ini kerana wanita kaya dengan perasaannya. 90% daripada wanita adalah perasaannya. Hanya 10% adalah pertimbangan akalnya.

1. Untuk menghadapi dan memimpin mereka agar tunduk kepada Allah swt, maka kaum lelaki hendaklah bermain dengan perasaan mereka sebanyak yang mungkin. Jenis-jenis perasaan yang ada pada wanita amatlah banyak, antaranya perasaan marah, dendam, rasa malu, jemu, kecewa dan banyak lagi. Perasaan-perasaan ini boleh digunakan untuk kepentingan agama, dunia dan akhirat.

2. Bahasa samada dalam lisan atau tulisan adalah alat bagi membangkitkan rasa bagi setiap perasaan di dalam dada wanita. Dalam memimpin kaum wanita, kaum lelaki hendaklah cekap menggunakan daya fikir untuk mengolah bahasa dengan lidah yang petah supaya tercetus apa sahaja perasaan yang dikehendaki dalam hati perempuan.

3. Sekiranya lelaki inginkan perasaan kasih dan sayang berbunga dalam dada mereka, maka bawalah cerita-cerita kasih mesra dengan kata-kata hukamak (hikmah) mengenai kasih sayang. Sekiranya lelaki mahu perasaan rindu bertapak di hati mereka, maka bawalah kisah-kisah rindu dengan kata-kata yang berunsur kerinduan. Jikalau hendak membangkitkan rasa marah mereka, itu amatlah mudah kerana semua orang tahu caranya.

4. Dalam membimbing dan memimpin wanita, lelaki hendaklah merancang untuk mengubah dan mewujudkan setiap rasa yang dikehendaki dalam dada wanita yang bergelar anak, isteri dan ibu. Untuk itu seharusnya, kaum lelaki tahu dan mempunyai daya kekuatan yang tinggi supaya dapat merancang apa yang diingini pada diri setiap wanita sebelum memiliki mereka. Di sinilah antara kejayaan para Rasul, Nabi dan wali Allah swt dalam memimpin umat manusia. Mereka dapat menguruskan hati manusia kerana berjaya mencetak perasaan mereka hingga menjadi umat yang patuh dan taat kepada Allah swt. Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran, perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala- galanya. Apalagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s. tetap merindukan Siti Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, tidak mungkin mampu hendak meluruskan mereka.

Tidak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan cara petunjuk Allah, kerana mereka diciptakan begitu rupa dari bahagian tubuh lelaki.Didiklah mereka dengan panduan dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Resepi Untuk Bercinta Sampai Ke Syurga

Posted by Lathifatuz Zahroh , under | 0 komentar

Kekuatan Berfikir

Cinta bermula dari fikiran kita. Berfikir tentang pasangan ideal yang ingin anda kenali akan membantu anda mengenali dia, ketika anda akhirnya bertemu dengan orang yang tepat tersebut.

Kekuatan Untuk Menghormati

Anda tidak mampu mencintai seseorang atau apa saja kalau anda tidak menghormati mereka. Orang pertama yang patut dihormati ialah dirimu sendiri. Untuk mulai menghormati diri sendiri, anda patut bertanya pada diri sendiri “Apa yang aku hormati dalam diriku?” Untuk mendapat perasaan hormat dari orang lain, bahkan dari orang yang anda tidak suka, anda patut bertanya pada diri sendiri.”Apa yang aku hormati dalam diri mereka?”.

Kekuatan Untuk Memberi

Jika anda mahu menerima cinta, anda harus mampu memberikannya terlebih dahulu. Makin banyak cinta anda beri, makin banyak yang akan anda terima. Mencintai sama ertinya dengan memberi cinta tulus pada dirimu sendiri. Belajarlah untuk melakukan berbagai macam kebaikan. Rahsia untuk mencipta hubungan yang ceria, penuh cinta,dan abadi adalah dengan selalu berfikir “Apa yang dapat aku beri?” dan bukan “Apa yang akan aku dapat?”.

Kekuatan Persahabatan

Untuk mencari cinta sejati, anda mesti mencari sahabat sejati terlebih dahulu. Cinta bukan bererti mata anda berdua saling berpandangan, tetapi lebih bererti bersama-sama melihat ke satu tujuan. Untuk mencintai seseorang seutuhnya, anda harus mencintai keperibadiannya, bukan fizikalnya. Persahabatan adalah tanah di mana benih cinta dapat tumbuh. Jika anda ingin membawa cinta ke suatu hubungan, anda haruslah mencipta persahabatan terlebih dahulu.

Kekuatan Dari Sentuhan

Sentuhan adalah salah satu ekspresi cinta yang paling kuat, menghancurkan dinding pemisah dan menyatukan suatu hubungan. Sentuhan membuat kita lebih dapat merasakan getaran cinta yang sebenarnya. Tetapi agama Islam melarang kita bersentuh-sentuhan tatkala bercinta, kekuatan ini difokuskan kepada suami isteri.

Kekuatan Untuk Melepaskan

Jika anda mencintai seseorang, bebaskanlah dia. Jika dia kembali kepadamu,maka dia adalah milikmu. Jika tidak, maka dia tidak akan pernah jadi milikmu. Bahkan dalam hubungan percintaan, seseorang perlukan ruang untuk dirinya sendiri. Jika anda mahu belajar untuk mencintai, pertama anda harus belajar untuk memaafkan dan melupakan masa lalu yang buruk serta kedukaan hati anda. Mencintai bererti melepaskan rasa takut, curiga, dan ego. Hari ini anda melepaskan semua rasa takut, masa lalu tidak akan dapat mempengaruhi anda - hari ini adalah lembaran baru bagi hidup anda.

Adab Bercinta Dalam ISLAM

Posted by Lathifatuz Zahroh Minggu, 03 April 2011, under | 0 komentar

Dipetik daripada buku “PSIKOLOGI CINTA” ...

Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”

ISLAM menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan percintaan sesama lelaki dan perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat percintaan yang mana orang Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan perkara-perkara yang dapat membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat tersebut adalah cinta sebelum perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta selepas perkahwinan.

Cinta Sebelum Kahwin

Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan. Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:

1.Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.

2.Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka.

3.Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta.

4.Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.

5.Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.

Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Cinta Selepas Bertunang

Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Ber-tunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalal-kan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta Selepas Kahwin

Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.

Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:

1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.

2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.

3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Seharusnya Cinta…

Insan yang beriman sering kali meletakkan sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah. Maka, dalam soal percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin cinta datang dari Allah dan hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah adalah Pencipta kepada cinta, dan setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab kewujudannya, yang sering kali tidak cuba difahami oleh manusia.

Hanya segelintir sahaja yang memahami hakikat didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali kepada asal matlamat kejadian manusia; untuk menyembah dan melakukan ketaatan kepada Allah. Tidak kira apa bangsa ataupun agama sekalipun, hakikat cinta adalah kembali kepada mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang menciptakan segala cinta. Agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap mengupas persoalan cinta sebagai sumber kedamaian hati dan keamanan dunia.

Realiti cinta menuntut pengorbanan daripada setiap individu yang berani untuk melibatkan dirinya dalam percintaan. Cinta penuh dengan air mata, aliran perasaan yang amat deras dan getaran yang mengilukan hati. Cinta juga penuh dengan keindahan, keselesaan, kehalusan perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga melibatkan perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia dan alam, serta manusia dan perbuatan.

Oleh yang demikian, insan yang beriman dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan dalam pergaulan, kekecewaan dalam percintaan, dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka memahami hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang wujud dalam dunia ini, lantas menjadikan fikiran mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam menangani soal percintaan. Penderitaan, penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan sebagai sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati, tetapi sebaliknya sebagai sumber yang memberi kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan yang sebenarnya.

http://kupu2syurga.blogspot.com/2009/04/adab-bercinta-dalam-islam.html